Hari Orangutan Sedunia, 19 Ogos

Mengapa begitu sukar untuk orang kita mendokong usaha melindungi alam sekitar dan hidupan liar?  Tiadakah insan yang prihatin pada kebajikan makhluk ciptaan Tuhan yang lain dan keindahan alam semesta yang dikurniakan kepada kita?

Sering kita melihat kempen perlindungan hidupan liar dan alam semulajadi bagaikan rumput kering yang bergerak ditiup angin.  Sesekali ia ke timur, sesekali ia be barat.  Jarang sekali ia ditegur,  jarang lagi yang ingin terlibat.

Bukan wang ringgit yang dipinta. Cuma bantuan untuk meningkatkan kesedaran antara sesama.  Kita sering berkongsi status dan foto yang indah. Kita sering berinteraksi dalam situasi yang riang dan ceria.  Namun apabila tiba waktunya kita melihat kesedihan dan musibah, pantas sekali jari kita menarik halaman ke bawah.

Tidak kurang juga yang melihat lantas berkata… ‘ah, ia tiada sangkut paut dengan diriku.  Segala yang ku perlu kini ada pada diriku.  Tidak wajar aku terlibat dengan hal-hal yang munkin bakal memakan waktu ku, mungkin juga wang ringgitku.’

Maka terbiarlah kemusnahan oleh yang tamak dan rakus.  Tiada keselamatan dari malapetaka akibat birokrasi dan politikus.  Tanpa kita sedari habitat yang menjadi rumah dan syurga mereka semakin hari semakin lupus.  Dan hidupan liar yang kita sangka tegap, pintar dan penyayang kini telah pupus.

Bersama ia juga hilangnya alam sekitar yang telah menampung kehidupan kita.  Pada masa itu giliran manusia pula ditimpa malapetaka.  Iklim dunia kacau, cuaca pula meracau, manusia bagai dipukau.


Pada waktu itu segala harta kekayaan dan kemajuan tiada maknanya lagi.  Kemusnahan yang kita bawa akhirnya memakan diri.  Kemegahan dan nama tidak punya erti.  Tiba di penghujung, kita semua mati.

Oleh Agustus Sapen. 

0 comments:

Post a Comment